Johor sering diperkatakan orang sebagai 'tiang seri' kepada UMNO dan 'Jantung Hati' kepada Barisan Nasional. Gelaran ini adalah bersandarkan kepada kejayaan cemerlang UMNO dan BN dalam siri-siri pilihanraya di Malaysia sejak Pilihan raya umum 1955 - 2008. Namun 'Tsunami' politik dalam pilihanraya ke 12 yang melanda seluruh negara turut menjejaskan gelaran 'tiang seri' dan 'jantung hati' apabila majoriti kemenangan calon-calon BN telah merosot dengan begitu teruk.
Contohnya : P160 JOHOR BAHRU
Jumlah Pengundi: 89,725
Peratusan Kaum: M: 51.03% C: 43.71% I: 4.78%
1. Datuk Sharil@Shahrir Ab. Samad (BN) (43,143)
2. Hassan Karim (PRM) (17,794)
Majoriti: 25,349
Jumlah undi: 62,328
Peratus mengundi: 69.47%
Undi rosak: 1,391
Penyandang: Datuk Shahrir Abd. Samad (BN)
(Majoriti: 46,792 undi)
Lihat kepada kemerosotan majoriti daripada 46,792 turun kepada 25 349 undi disamping undi rosak sebanyak 1 391 undi iaitu gambaran protes pengundi di sebuah bandaraya termaju di Malaysia.
Bukan itu sahaja, P 145 Bakri jatuh ke tangan DAP, N12 Bentayan (DAP) N13 Sungai Abong (PAS) N15 Maharani (PAS) N52 Senai (DAP) N48 Skudai (DAP) N28 Mengkibul (DAP).Kawasan-kawasan ini adalah kawasan majoriti pengundi Cina atau pengundi Cina menjadi penentu. Jika tidak berhati-hati, apa yang berlaku di Perak dalam pilihanraya ke 12 lalu akan berulang di Johor kerana pomposisi pengundi antara kedua buah negeri ini hampir sama.
Bagi semua kerusi Parlimen dan Negeri, pengundi Cina sudah mula berarak ke arah Pakatan Rakyat. Mereka sudah boleh menerima pengundi daripada calon PAS seperti mana yang telah mereka lakukan di N 15 Maharani dan N 13 Sg.Abong. Kedua-dua kerusi ini, undi Melayu berpecah dan Cina menjadi undi penentu untuk memberi kemenangan kepada calon PAS.
Bagi sebuah negeri yang maju dan kadar celik huruf yang tinggi kemungkinan untuk berlakunya undi rosak sepatutnya adalah rendah. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengumumkan 321,885 undi rosak ketika pilihanraya ke-12 dengan Johor merekodkan jumlah tertinggi.
Di negeri selatan itu, 28,709 dan 25,455 undi rosak masing-masing direkodkan di 26 kerusi parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Apakah maknanya ini? Rata-rata membuat andaian undi rosak ini adalah 'undi keliru'. Di telan mati emak, diluah mati bapak.Ditelan mati anak diluah mati emak. Mereka TIDAK PUAS HATI dengan BN tetapi TIDAK TERGAMAK hendak memberi undi kepada pembangkang. Apakah faktor ketidakpuasan hati mereka? Faktor kerajaan pusat atau faktor kerajaan negeri?
Calon yang tidak disukai ahli Umno dan "isu-isu nasional", dipercayai termasuk cerita-cerita tentang perdana menteri ketika itu dan pengaruh keluarganya dalam pentadbiran negara, dianggap punca banyak undi rosak di Johor.Selain itu, rakyat juga benci dan meluat dengan laporan media massa yang terlalu berat sebelah, memihak kepada kerajaan. Berdasarkan pendapat ini, ianya berpihak kepada faktor kerajaan pusat.
Bagaimana, undi rosak sebanyak 28, 709 di peringkat Parlimen dan 25 455 di peringkat DUN itu semuanya beralih kepada pembangkang? Johor yang menjadi 'tiang seri' UMNO dan 'jantung hati' Barisan Nasional akan mendapat kerajaan negeri dan MB yang baru. Apa maksud tiang seri dan jantung hati itu? Tiang Seri adalah tiang utama bagi sesebuah bangunan rumah sementara jantung hati itu adalah organ penting pada batang tubuh seseorang manusia. Bukankah bermakna jika tiang seri telah roboh dan jantung hati telah mati akan memberi impak besar kepada politik negara?
Keputusan kerajaan Persekutuan banyak memberi kesan gembira atau marah rakyat Johor khususnya berkenaan dengan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura. Dari dulu hingga sekarang hubungan ini banyak menguntungkan Singapura khususnya berkenaan bekalan air, pemilikan Pulau Batu Puteh dan Pulau-pulau berhampiran, isu pasir dan ruang udara dan tidak ketinggalan isu tambak Johor dan jambatan Bengkok.
Malaysia telah mencadangkan penggantian tambak kepada jambatan semenjak awal tahun 2000-an untuk membolehkan air mengalir tetapi cadangan itu ditolak oleh Singapura. Oleh sebab itu, Malaysia bercadang meneruskan projek penggantian melalui apa yang telah digelarkan sebagai "jambatan separuh yang bengkok" (crooked half bridge). Dengan tingginya 25 meter dari aras laut, cadangan jambatan di sebelah Malaysia akan menurun untuk menyambungkan dengan tambak di sebelah Singapura. Landasan pula akan disempurnakan dengan jambatan ayunan (swing bridge). Projek itu merupakan sebahagian Projek Gerbang Selatan Bersepadu.
Sebahagian penganalisis berpendapat bahawa penggantian tambak kepada jambatan akan mewujudkan sebuah sistem pelabuhan yang menyeluruh untuk mengaitkan Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Oleh sebab-sebab yang sama, Singapura enggan bersetuju sebab penggantian tersebut akan mengancamkan kegiatan-kegiatan Pelabuhan Singapura.
Rakyat Johor menyambut usaha mantan PM Tun Mahathir untuk membina jambatan menggantikan tambak yang telah usang dan jarang lagi terdapat di mana-mana negara maju.Ini bermakna sejak dari dulu lagi betapa majoriti rakyat negeri Johor mahukan sebuah Jambatan bagi menggantikan Tambak Johor. Rakyat negeri Johor TIDAK PERNAH menyatakan tidak mahu untuk membina sebuah jambatan bagi menggantikan Tambak Johor seperti yang didakwa oleh mantan PM Tun Dollah yang kemudiannya menjadi sebahagian undi protes dan undi rosak dalam pilihanraya ke 12.
Pembinaan Jambatan samada bengkok atau lurus bentuknya bagi menggantikan Tambak Johor harus disambung semula dengan seberapa segera untuk kepentingan rakyat dan Negara. Inilah kehendak majoriti rakyat yang berdaulat.
Bukan sahaja rakyat malah kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sendiri pernah bertitah agar tambak Johor yang dibina pada tahun 1919 sudah patut dirobohkan dan digantikan dengan jambatan. Bukan sahaja rakyat malah hingga ke ketua negeri sudah bersetuju maka apa perlunya jambatan ke 3 sedangkan jambatan ke 2 di Tuas sudah siap dibina pada Oktober 1997?
Bagi saya, Najib perlu peka dengan kehendak dan tuntutan rakyat Johor kerana keresahan dan kekeliruan rakyat pada pilihanraya ke 12 lalu dapat dibawa semula ke landasan yang betul.Rakyat Johor adalah rakyat paling setia kepada kerajaan Barisan Nasional sejak pilihanraya pertama lagi. Apa yang berlaku di Perak janganlah berlaku di Johor kerana kesanya bukan sedikit malah boleh merubah lanskap politik sebuah negara.
Kalau masih ada dalih lagi berkenaan tambak dan jambatan itu, undi rosak tertinggi di seluruh negeri itu hendak diletakkan di mana?
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com
Thursday, June 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment